Tuesday, 29 May 2018

UNSUR PENGETAHUAN LAIN BERKAITAN DENGAN SEJARAH MELAYU

1. AGAMA
Penceritaan mengenai kemasukan Islam ke Pasai dan Melaka telah dimitoskan dengan tujuan untuk mengagungkan Islam dan menunjukkan keistimewaan raja itu sendiri. Penceritaannya memberi gambaran bahawa Islam benar-benar berkembang di Melaka, bermula dari istana Melaka dan terus berkembang di kalangan rakyat jelata. Raja Melaka pertama beragama Islam ialah Raja Kecil Besar atau Sultan Muhammad Syah. Gelaran Sultan diguna pakai setelah Raja Melaka memeluk Islam.
Unsur Islam juga dapat dilihat daripada penyebutan dan penonjolkan tokoh-tokoh dan lama-ulama Islam. Antaranya Iskandar Zul-Karnian, yang merupakan tokoh pahlawan Islam yang terkenal gagah dan berani dalam menaikkan martabat Islam di dunia. Tokoh ini dikaitkan dengan asal usul keturunan raja Melaka yang bertujuan untuk menunjukkan keagungan raja-raja Melaka.
Tokoh-tokoh lain yang disebut seperti tokoh pahlawan Islam yang terkenal Amir Hamzah, tokoh-tokoh nabi seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Khidir. Sulalatus Salatin menceritakan pernikahan Raja Iskandar Zul-Karnain dengan Puteri Syahrul-Bariyah disempurnakan oleh Nabi Khidir. Mas kahwinnya sebanyak 300 ribu dinar emas. Tokoh-tokoh pendakwah Islam, iaitu ulama-ulama Islam dari Asia Barat (TimurTengah) datang ke Melaka bertujuan mengembangkan agama Islam dan mengajar ilmu Islam berpusat di istana Melaka. Tokoh-tokoh tersebut seperti Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Kadi Yusuf, dan Maulana Sadar Jahan.Tokoh-tokoh ini diberi penghormatan dan pengiktirafan tinggi di istana Melaka. Mereka sangat berpengaruh terutama dalam soal-soal berkaitan dengan hal-ehwal keagamaan.
Unsur Islam dalam Sulalatus Salatin juga terlihat dalam perjalanan adat-lstiadat dan perundangan yang diamalkan kerajaan Melaka. la meliputi hal-hal seperti upacara akad nikah kahwin, dan perayaan-perayaan hari kebesaran Islam seperti menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raja Korban. Selain gambaran Islam juga dapat dilihat melalui adat berkhatan.
Menjadi suatu amalan kepada raja-raja Melaka yang mangkat meninggalkan wasiat kepada pembesar negeri dan putera mahkota. Misalnya wasiat kepada Raja Ahmad (timang-timangan Raja Hussain) dan wasiat Sultan Alau'd-Din Riayat Syah kepada Sultan Mahmud (Raja Mamad) (Sulalatus Salatin, hlm.186-187). Melalui wasiat, banyak didapati unsur pengajaran dan nasihat yang bersumberkan al-Quran dan hadis.
Unsur Islam dalam Sulalatus Salatin juga ketara melalui penyebutan tentang kewujudan karya-karya Kesusasteraan Islam di Melaka contohnya Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikyat Amir Hamzah. Hikayat-hikayat ini dibaca oleh panglima-panglima Melaka untuk menaikkan semangat keperwiraan menentang musuh seperti Peringgi.
Penceritaan dalam Sulalatus Salatin diselitkan dengan puisi Arab iaitu syair. Pengggunaan puisi atau bidalan Arab ini dalam menjelaskan sesuatu gambaran berkesan memberi nilai estetika pada teks tersebut. Lebih jelas menunjukkan keupayaan orang-orang Melaka menguasai seni sastera ini dalam penulisan karya agung itu. Perkara ini jelas dipaparkan dalam peristiwa Sultan Mahmud yang melihat kecantikan Tun Fatimah. Sulalatus Salatin menceritakan hal tersebut melalui syair Arab;
                 Ma yarji'u al-taffu 'ainnahu 'inda ru'yatihi, Hatta yu' ada i-laiya al-taffa musytaqu,
maksudnya, tiada akan berkelip kelopak mata tatkala melihat dia, hingga berkelip kepadanya kelopak mata, makin bertambah dendam juga, adanya.
Sulalatus Salatin juga menyentuh tentang corak pendidikan dan perkembangan ilmu keislaman. Istana digambarkan sebagai pusat pengajian ilmu-ilmu Islam. Pasai dikatakan menjadi sebagai pusat bermuzakarah mengenai ilmu fiqah mengikut mazhab Shafie. Istana dijadikan pusat pengajaran Islam dengan sultan dan pembesar turut belajar dan menuntut ilmu. Ulama-ulama, guru-guru agama dan pendakwah berkumpul di istana. Contohnya, Maulana Sadar Jahan dari Jeddah mengajar di Melaka. Maulana Yusuf mengajar tasawuf. Sultan Mahmud turut belajar ilmu agama.
Kitab-kitab agama seperti Kitab Duri'l-Mazlum dibawa ke Melaka oleh Maulana Abu Bakar dan diajar di istana Melaka. Sultan Mansur Syah turut belajar kitab ini. Diceritakan juga tentang utusan dari Melaka ke Pasai untuk menyelesaikan masalah-masalah berkait ilmu Islam kerana di Pasai ramai ulama-ulama berkumpul bermuzakarah tentang ilmu-ilmu keislaman.
Unsur Islam dalam Sulalatus Salatin juga tergambar melalui teknik penulisannya. Mukadimah Sulalatus Salatin dimulai dengan Bismillahir-rahmanir-rahim. Dalam mukadimah disertakan ayat-ayat al-Quran dan diikuti pula dengan terjemahan dalam bahasa Melayu. Struktur penulisan seperti ini adalah teknik yang biasa dalam karya-karya Arab-Parsi. Pada tiap-tiap akhir cetera, pengarang menutupnya dengan ayat "Wa'llahu a'lamu bi's-sawab, wa illaihi 'Imarji'u wa 'l-ma'ab.". Hanya pada akhir cerita sahaja diakhiri dengan ayat "Wa'llahu a'lam."
Terdapat juga struktur penulisan menggunakan gaya khutbah. Ini jelas ketika memberi nasihat yang meleret-leret dalam wasiat. Selain itu kalimat-kalimat Arab-Parsi digunakan dalam ayat antaranya Syahbandar, alam, bahari, sahibul hikayat dan Iain-Iain.



2. SEJARAH
Sejarah Melayu adalah satu sumber sejarah yang berguna untuk menuliskan sejarah Malaysia di antara tahun 1400-1511, terutama sekali mengenai sejarah Melaka sebelum penaklukan oleh Feringgi. Menurut Sanusi Ahmad, hanya dengan membaca Sejarah Melayulah kita dapat menggambarkan cara hidup dan sejarah Melaka tahun 1511, seperti kebudayaan, tradisi, adat istiadat dan masyarakat serta keadaan pelabuhannya yang menjadi tumpuan para pedagang dari pelbagai negeri.
Pengarang menulis Sejarah Melayu yang bertemakan kemegahan dan kesultanan Melayu, dan secara keseluruhan ceritanya berpusat kepada golongan raja-raja serta pembesar-pembesar yang berlatar berlakangkan istana dan kawasan pemerintahan. Pengarang juga menyelitkan kisah-kisah bercorak mitos, lagenda, cerita rakyat dan kisah-kisah sejarah yang dikatakan adalah unsur-unsur sastera walaupun ada yang bercorak sejarah. Tanpa sumbangan besar daripada tokoh terkemuka seperti Tun Sri Lanang ini, pastinya masyarakat dan generasi pada masa kini masih terkapai-kapai dan kekaburan dalam meneliti sejarah bangsa dan selok belok kebudayaan Melayu itu sendiri.
Melaka merupakan pusat tumpuan pedagang-pedagang yang melalui Selat Melaka. Melaka adalah pusat perdagangan utama pada ketika itu dan barang dagangan yang paling utama adalah rempah ratus. Pedagang-pedagang yang berdagang di pelabuhan Melaka adalah seperti pedagang Arab, China, Siam, Jawa,dan lain-lain. Oleh itu, untuk mengukuhkan Melaka sebagai pelabuhan utama di Selat Melaka, kerajaan Melaka ketika itu turut menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara ini.
Melaka turut menjalinkan hubungan diplomatik dengan negeri-negeri lain seperti Terengganu, Kelang, Beruas, Pahang, Sulawesi dan Kampar. Kebanyakan negara-negara ini menghantar ufti sebagai tanda mengakui kedaulatan kerajaan Melaka dan ada juga negeri yang menghantar ufti sebagai tanda negeri tersebut di bawah jajahan takluk kerajaan Melaka. Contohnya kerajaan Siam telah menganugerahkan seorang puteri yang bernama Onang Minang Lang kepada Tun Telanai yang dihantar oleh Sultan Mansor Syah sebagai utusan untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan Siam. Penganugerahan ini diberi kerana Tun Telanai dan rombongannya telah Berjaya menolong Raja Siam mengalahkan negeri jirannya .Sebagai balasan kepada kerajaan Melaka, Raja Siam membalas utusan Melaka dengan mengirim surat dan hadiah tanda persahabatan.
Jalinan hubungan diplomatik kerajaan Melaka dengan Negara China merupakan hubungan diplomatik yang paling penting. Hubungan ini kekal hingga ke hari ini. Hubungan kerajaan Melaka dengan kerajaan China bermula setelah kerajaan China menghantar utusan ke Melaka dengan membawa bingkisan jarum sarat sebuah pilau (kapal) untuk menunjukkan bilangan penduduk China yang ramai.
Selain itu dikirimkan juga beberapa barang berharga yang luar biasa. Hubungan diplomatik kerajaan Melaka dengan negara-negara tersebut adalah untuk kepentingan kedudukan dan kedaulatan kerajaan Melaka. Oleh kerana itulah mereka perlu menghantar ufti sebagai tanda kedaulatan kerajaan Melaka. Terdapat juga sesetengah negeri ini adalah jajahan takluk kerajaan Melaka seperti Pahang. Dengan hubungan diplomatik ini juga dapat mewujudkan hubungan perdagangan seperti China yang sehingga hari ini adalah rakan dagangan Malaysia yang penting.



3. KEMANUSIAAN
Sikap hormat-menghormati terdapat dalam kalangan mereka. Seorang rakyat biasa umpamanya tetap mematuhi perintah ketua atau pembesar di atasnya. Hal ini digambarkan tatkala mengetahui bahawa Bendahara Tun Mutahir akan dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah, pengikut-pengikut beliau cuba menentang pembunuhan ini. Tetapi penentangan tersebur dilarang oleh Tun Mutahir kerana perbuatan itu disifatkan oleh beliau sebagai menderhaka kepada Sultan. Pengikut-pengikut ini kemudiannya tidak jadi menentang.
Selain itu, seorang ulama juga sangat dihormati sehingga sultan Melaka sendiri menghormatinya. Hal ini berlaku apabila guru baginda Sultan Mahmud Syah iaitu Maulana Yusoff enggan membenarkan baginda mengadap guru tersebut dengan menunggang gajah, dan akhirnya baginda mematuhi kehendaknya.
Masyarakat Melayu begitu kaya dengan budaya dan budi bahasanya. Hal ini digambarkan oleh Tun Seri Lanang di dalam Sejarah Melayu. Adat Istiadat diraja juga dikarang oleh Tun Seri Lanang bagi memperlihatkan kedaulatan Raja-Raja Melayu .Oleh hal yang demikian, Sejarah kebudayaan masyarakat Melayu turut dipaparkan di dalam Sejarah Melayu bagi tatapan masyarakat dewasa ini.
Antara unsur karya agung yang terdapat dalam Sulalatus Salatin ialah nilai estetika yang tinggi. Dalam Sulalatus Salatin, Tun Sri Lanang menggunakan gaya bahasa yang indah untuk memerikan sesuatu hal. Selain itu, puisi-puisi lama turut diselitkan untuk menggambarkan sesuatu cerita dan peristiwa. Penyisipan unsur-unsur dapat mengindahkan bahasa supaya kelihatan lebih seni dan menarik. Sulalatus Salatin turut menggunakan bahasa Melayu klasik. Buktinya, ia menggunakan ayat yang panjang, banyak menggunakan kata pangkal ayat dan istilah-istilah klasik.
Seterusnya ialah unsur kesejagatan. Tindakan-tindakan  seseorang watak dianggap sebagai kemanusiaan sejagat. Dalam Sulalatus Salatin, unsur sejagat dapat dilihat menerusi peristiwa Waad antara  Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Perjanjian ini adalah untuk kepentingan semua pihak iaitu pihak raja dan pihak rakyat. Raja tidak boleh menganiaya rakyat manakala rakyat pula tidak boleh derhaka kepada raja. Hal ini akan membawa kepada keamanan seluruh rakyat dan negeri.



4. KEMASYARAKATAN
Sejarah Melayu mempamerkan gambaran tentang struktur masyarakat Melaka yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan golongan masyarakat, antaranya termasuklah masyarakat daripada golongan pemerintah dan kerabat diraja, yang kemudiannya diikuti oleh golongan pentadbir-pentadbir yang terdiri daripada pembesar-pembesar yang menduduki kelompok bangsawan Melayu.
      Golongan dalam kalangan ulama turut menduduki taraf istimewa di sisi kerajaan Melaka. Walaupun mereka bukan sebahagian daripada keluarga istana, namun ramai antara para ulama ini mempunyai hubungan rapat dengan raja-raja Melaka. Golongan yang dianggap paling rendah sekali kedudukannya dalam struktur masyarakat pada masa itu ialah hamba abdi.
Orang-orang asing juga digambarkan oleh Tun Seri Lanang berdamping rapat dengan istana Melaka. Ramai di antara mereka ialah saudagar-saudagar Keling seperti Nila Sura Dewana, Kitul, Aki Manu Nayan yang menjadi seorang pedagang dan seorang saudagar Keling yang paling kaya, juga menjadi Syahbandar, iaitu Raja Mendaliar. Terdapat juga orang jawa yang mempunyai kedudukan yang sama ialah Patih Adam iaitu seorang pangeran dari Surabaya.
Kebudayaan masyarakat Melayu turut digambarkan oleh pengarang Sejarah Melayu sebagai pengetahuan kita. Gambaran tentang adat istiadat istana dan masyarakat Melayu purba di Melaka seperti pantang larang di istana, adat memakai pakaian kuning, adat menyambut bulan Ramadhan dan lain-lain. Terdapat beberapa adat antaranya adalah adat yang sebenar-benar adat iaitu adat yang betul-betul berteraskan islam itu sendiri, tetapi sebelum kedatangan islam banyak dipengaruhi oleh hindu dan budha, namun apabila Islam telah timbul, maka apa yang bertentangan dengan Islam diketepikan.
Yang kedua adalah berteraskan adat yang sebenar-benar adat. Yang ketiga adalah adat yang teradat iaitu adat yang dicipta oleh pemimpin itu sendiri, iaitu raja. Seterusnya, adat istiadat iaitu peraturan-peraturan yang biasa dilakukan setiap hari, setiap ketika yang ada dalam istana dan luar istana. Akhir sekali ialah adat resam iaitu adat yang diamalkan oleh masyarakat tersebut.
Adat menderhaka kepada raja, yang pastinya akan dihukum bunuh.  Muhd Mansur Abdullah mengungkap perkara ini dengan mengupas naskhah W.G Shellabear dalam cerita ke 14, 15 dan 16 tentang cerita mengenai Hang Tuah dan pengkhianatan Hang Kasturi. Kisah akhir dalam bab ini yang mengisahkan kejayaan Hang Tuah yang Cuma disorokkan oleh Bendahara di hulu Melaka, membunuh Hang Hasturi yang dianggap penderhaka kepada raja.



16 comments:

  1. Perkongsian ilmu yg sungguh bermanfaat..cayok farah and the geng💪💪💪

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe ainul! aku ni farah. terima kasih kawan. loveyou

      Delete
  2. terima kasih untuk penjelasan yang begitu jelas

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Terima kasih. Semoga bermanfaat!

      Delete
  3. Perkongsian yang menarik dan bermanfaat :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Terima kasih. Semoga bermanfaat!

      Delete
  4. Terima Kasih, semoga mendapat manfaatnya.

    ReplyDelete
  5. terima kasih anak muda kerana mewujudkan satu platform yg begitu kreatif untuk menyalurkan pengetahuan kepada rakan-rakan yang lain.

    ReplyDelete
  6. wahh!! saya akan gunakan perkongsian ini dengan sebaiknya. terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Terima kasih. Semoga bermanfaat!

      Delete
  7. Terima kasih atas perkongsian ilmu yang menarik, mudah difahami, dan jelas.

    ReplyDelete
  8. Perkongsian ilmu yg bermanfaat.

    ReplyDelete