Sunday, 25 March 2018

BAB 3

Seri Teri Buana menghantar rombongan peminangan ke benua Keling untuk meminang Puteri Nila Pancadi untuk anakanda baginda, Raja Kecil Besar. Setelah Seri Teri Buana mangkat dan diganti oleh Raja Kecil Besar bergelar Paduka Seri Pikrama Wira. Paduka Seri Pikrama Wira pula melantik beberapa jawatan penting seperti Bendahara, Perdana Menteri, Penghulu Bendahari, dan hulubalang. Dalam pada itu, Betara Majapahit telah menghantar utusan ke Singapura dengan bingkisan "Sekeping tatal tujuh depa panjangnya, ditarah tiada putus, nipisnya seperti kertas, dan bergulung seperti subang". Setelah utusan itu tiba, Paduka Seri Pikrama Wira tersalah anggap dan bertindak membalas utusan itu dengan mencukur kepala seorang budak dan beliungnya dihantar ke Majapahit. Hal ini mengakibatkan terjadinya peperangan di antara Singapura dan Majapahit tetapi Singapura tidak kalah. Kemangkatan Paduka Seri Pikrama Wira menyebabkan Raja Muda dilantik menjadi raja Singapura dengan gelaran Rakna Wikrama. 


Antara lainnya, Badang telah menahan lukah tetapi ikannya dimakan oleh hantu.  Badang dapat menangkap hantu itu tetapi hantu itu telah meminta Badang untuk melepaskannya dan segala permintaan Badang akan ditunaikan. Oleh hal yang demikian, Badang telah meminta kekuatan dan tetapi Badang perlu memakan muntah hantu itu. Badang telah menjadi kuat dan dapat menebas hutan dalam masa yang singkat sehingga dimerdekakan oleh tuannya. Badang turut berjaya mengalahkan pahlawan dari benua Keling bernama Nadi Bija Niakra dan hampir-hampir beriawan dengan Benderang, iaitu pahlawan dari Perlak tetapi pihak Benderang membatalkan perlawanan itu dengan alasan tidak mahu terjadi permusuhan pada kemudian hari. Setelah Seri Rakna Wikrama mangkat, takhta baginda digantikan oleh anak baginda dengan gelaran Paduka Seri Maharaja. 


Merah Silu menahan lukah dan berasa hairan kerana selalu mendapat cacing gelang-gelang. Apabila direbus, cacing gelang-gelang tersebut bertukar menjadi emas. Merah Caga ingin membunuh Merah Silu dan Merah Silu telah melarikan diri ke Rimba Jurun. Merah Silu menjumpai sebuah tempat dan menamakan tempat tersebut Semundra berdasarkan semut besar yang dilihatnya. Merah Silu telah bermimpi bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh sahabat baginda mengislamkan rakyat Semundra. Tugas itu dilaksanakan oleh Sheikh Ismail dan fakir Muhammad yang datang ke Semundra. Fakir Muhammad telah mengislamkan penduduk-penduduk di Fansuri, Haru, Lamiri, dan Perlak serta berjumpa Merah Silu di pantai lalu mengislamkan beliau dan menukarkan namanya kepada Sultan Maliku's-Salleh. Sultan Maliku's-Salleh telah dikurniakan dua orang putera iaitu Sultan Maliku't-Tahir dan Sultan Maliku'l-Mansur. Sultan Maliku't-Tahir dirajakan di Pasai dan Sidi Ali Ghiathu'd-Din menjadi Mangkubuminya. Ketika Sultan Maliku's-Salleh gering, baginda telah mewasiatkan kepada anak-anak baginda supaya berbaik-baik dan Semundra diperintah oleh Sultan Maliku'l-Mansur. Dalam pada itu, Raja Syahru'n-Nuwi menitahkan Awi Dicu menangkap raja Pasai dan Awi Dicu melaksanakan tugas itu setelah membuat muslihat dengan hulubalang yang gagah di dalam empat buah peti . Raja Pasai dijadikan gembala ayam oleh raja Syahru'n-Nuwi.  Sidi Ali Ghiathu'd-Din bermuafakat dengan menteri untuk membebaskan raja Pasai. Sidi Ali Ghiathu'd-Din turut berusaha untuk menyelamatkan rajanya dengan membuat tipu muslihat. Oleh itu, beliau telah memberikan hadiah yang bernilai kepada raja Syahru'n-Nuwi sehingga raja Syahru'n-Nuwi berjanji akan memberi apa sahaja yang diminta oleh Sidi Ali Ghiatu'd-Din sebagai balasan lalu Sidi Ali Ghiathu'd-Din memohon raja Pasai daripada raja Syahru'n-Nuwi dan diizinkan oleh baginda. Setelah itu Raja Pasai dibawa pulang. Sultan Maliku'l-Mansur pergi ke Pasai untuk melawat Sultan Maliku't-Tahir walaupun ditegah oleh Sidi Asma Yaumi'd-Din. Sultan Maliku'l-Mansur telah mengambil dayang Sultan Maliku't-Tahir dan dibawa pulang ke Semundra. Saltan Maliku't-Tahir berdendam dengan Sultan Maliku'l-Mansur dan berusaha untuk menangkapnya. Oleh hal yang demikian, Sultan Maliku't-Tahir yang menggunakan tipu muslihat dan berjaya menangkap Sultan Maliku'l-Mansur manakala Sidi Asma Yaumi'd-Din telah dipenggal lehernya dan kepalanya dibuang ke laut manakala Sultan' Maliku'l-Mansur dibawa berperahu ke Manjung. Sultan Maliku'l-Mansur telah terjumpa kepala Sidi Asma Yaumi'd-Din dan baginda meminta badan Sidi Asma Yaumi'd-Din untuk dicantumkan dengan kepalanya kemudian dikebumikan di Padang Maya. Kemudian, Sultan Maliku't-Tahir telah menjemput Sultan Maliku'l-Mansur pulang kerana baginda amat menyesal bermusuh-musuhan dengan saudara sendiri. Sultan Maliku'l-Mansur mangkat di sisi kubur Sidi Asma Yaumi'd-Din.




6 comments:

  1. Nota yg lengkap & mudah difahami,tq

    ReplyDelete
  2. Senang difahami dan jalan cerita yang menarik. Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama. Semoga nota ini dapat membantu

      Delete