Sunday, 25 March 2018

BAB 4

Tuan Jana Khatib dari Pasai berkunjung ke Singapura. Apabila beliau lalu berhampiran istana raja, beliau telah menilik batang pinang sehingga terbelah dua. Oleh itu, Paduka Seri Maharaja murka akan Tuan Jana Khatib dan menganggap Tuan Jana Khatib sengaja menunjukkan kepandaian serta ilmunya itu di hadapan isteri baginda lalu Tuan Jana Khatib dibunuh dan badannya ghaib ke Langkawi. Oleh hal yang demikian, ikan todak telah menyerang Singapura dan ramai rakyat terkorban. Seorang budak lelaki telah mencadangkan agar digunakan batang pisang sebagai penahan serangan todak dan gagasannya menghasilkan kejayaan. Walau bagaimanapun, budak itu dibunuh kerana disangkakan akan melebihi kepandaian raja suatu ketika nanti. Paduka Seri Maharaja mangkat dan digantikan oleh Raja Iskandar Syah. Antara lainnya, anak Sang Rajuna Tapa telah difitnah berbuat jahat dengan lelaki lain dan dihukum sula oleh Raja Iskandar Syah di hujung pasar. Sang Rajuna Tapa berasa marah akan tindakan Raja Iskandar Syah dan menyuruh Majapahit menyerang Singapura dan beliau sedia membantu Majapahit. Peperangan berlaku dan Singapura dapat dikalahkan oleh Majapahit lalu Raja Iskandar Syah melarikan diri ke hulu Muar, manakala Sang Rajuna Tapa dan isteri telah bertukar menjadi batu. Kemudian Raja Iskandar Syah berjaya menemui beberapa tempat seperti Biawak Busuk dan Kota Buruk. Raja Iskandar Syah membuka Melaka berdasarkan suatu peristiwa iaitu seekor pelanduk putih telah menendang anjing perburuannya.  Peristiwa itu dilihat baginda sewaktu berehat di bawah pokok Melaka. Raja Iskandar Syah mangkat dan digantikan oleh anakanda baginda iaitu Raja Muda. Raja Muda mangkat dan digantikan oleh Raden Tengah yang akhirnya digantikan pula oleh Raja Kecil Besar selepas kemangkatan Raden Tengah. Kedatangan Syed Abdul Aziz ke Melaka telah mengislamkan penduduk Melaka. Sultan Muhammad Syah telah menetapkan satu adat kepada rakyat untuk membezakan raja dengan rakyat. Pembesar-pembesar istana juga dikenakan peraturan-peraturan tertentu supaya dapat mengukuhkan lagi pentadbiran Melaka. Dalam pada itu, Mani Purindan telah ke Melaka dari benua Keling dan berkahwin dengan Tun Ratna Sandari lalu dikurniakan dua orang anak, iaitu Tun Ali dan Tun Ratna Wati. Sultan Muharnmad Syah berkahwin dengan Tun Ratna Wati dan dikurniakan seorang anak iaitu Raja Kassim. Kemudian Sultan Muhammad Syah turut berkahwin dengan anak raja Rekan, serta dikurniakan seorang anak iaitu Raja Ibrahim. Selepas kemangkatan Sultan Muhammad Syah, Raja Ibrahim diangkat menjadi sultan dengan gelaran Sultan Abu Syahid sementara Raja Kassim diusir daripada istana. Raja Kassim kemudian menyamar sebagai nelayan dan bermuafakat dengan Maulana Jalalu'd-Din untuk merebut takhta kerajaan Melaka. Perebutan takhta berlaku sehingga Raja Rekan dan Sultan Abu Syahid terbunuh. Raja Kassim telah ditabal menjadi raja dengan gelaran Sultan Muzaffar Syah dan Bendahara Seri Wak Raja telah membunuh diri setelah menganggap Sultan Muzaffar Syah tidak menyukainya. Oleh yang demikian, Seri Nara Diraja Tun Ali dilantik menjadi Bendahara, manakala Tun Perak iaitu anak Seri Wak Raja menjadi penghulu di Kelang.



4 comments:

  1. Nota yang lengkap dan sesuai untuk rujukan 👍

    ReplyDelete
  2. Cerita yang semakin menarik. Tq

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. Semoga berguna untuk pembelajaran anda

      Delete